27 Januari 2012

Kaedah memahami nas syarak

Kaedah memahami nas syarak.
Nas syarak merupakan sumber asas  kepada pembinaan hukum dalam perundangan Islam. Para mujtahidin akan mengunakan kemampuan dan ilmu yang mereka milki untuk memahami kehendak sebenar yang dikehendaki oleh nas-nas syarak. Berdasarkan kefahaman mereka ke atas nas-nas syarak, para mujtahidin akan mengistinbat atau menentukan sesuatu hukum syarak.
Secara umum terdapat dua kaedah asas yang diguna pakai oleh para mujtahidin untuk memahami atau mentafsir sesuatu nas syarak.

1- Kaedah az-Zahiri.
Aliran yang meletakan zahir nas atau apa yang tercatat kepada lafaz nas sebagai asas pembinaan sesuatu hukum.  Dimana mereka tidak mengunakan al-Maqasid  sebagai rujukan untuk memahami sesuatu nas syarak, bahkan untuk mengistinbat dan membina sesuatu hukum mereka hanya menjadikan lafaz nas sebagai hujah. Ini bermakna mereka hanya mengunakan apa yang zahir pada lafaz nas sebagai sumber asas pembinaan hukum syarak.
Kaedah memahami nas syarak dalam bentuk ini telah diperkenalkan oleh para fuqaha dari mazhab az-Zahiri. Namun terdapat juga fuqaha dari pelbagai mazhab yang mengunakan kaedah ini sebagai asas dan kaedah untuk memahami sesuatu nas syarak.

2- Kaedah al-Maqasidi.
            Aliran ini berpendapat bahawa kaedah yang digunakan untuk memahami sesuatu nas bukan hanya terhad kepada apa yang tercatat pada lafaz nas,  bahkan mestilah meliputi kajian terhadap al-Maqasid  yang terdapat pada sesuatu nas. Dimana kaedah ini akan menjadikan hikmat-hikmat dan falasafah yang terkandung dalam sesuatu nas sebagai rujukan disamping lafaz nas. Ini bermakna bahawa al-Maqasid  atau falasafah yang terkandung pada sesuatu nas, bukanlah merupakan asas untuk memahami sesuatu nas. Bahkan ilmu al-Maqasid akan bertindak sebagai suatu rujukan bagi membantu seseorang fuqaha untuk memahami kehendak sebenar sesuatu nas syarak.
            Para pengkaji ilmu fiqh berpendapat bahawa ilmu al-Maqasid  merupakan salah satu ilmu yang paling penting untuk memahami sesuatu  nas syarak . Bahkan mereka berpendapat bahawa hubungan diantara ilmu al-Maqasid  dengan nas syarak tidak boleh dipisahkan, bagaikan hubungan diantara roh dengan jasad. Dimana tanpa ilmu al-Maqasid,  sesuatu nas atau hukum syarak akan kehilangan roh. Nas yang kehilangan roh akan menjadi nas yang jumud dan dan  tidak bermaya.
Menjadi tanggungjawab para fuqaha semasa untuk menyelidik dan mengkaji al-Maqasid  yang terdapat pada setiap nas syarak secara bersunguh-sungguh. Kajian terhadap al-Maqasid sesuatu nas amat penting bagi memastikan setiap hukum syarak yang dibina oleh fuqaha semasa benar-benar menepati kehendak syarak.