04 Februari 2012

Kaedah الأصل في الأشياء الإباحة


Persoalan yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim adalah kemurnian aqidah dan keimanan kepada Allah. Tanpa kemurnian dan kesucian aqidah seseorang muslim dianggap telah menyelewengan daripada dasar keimanan dan dihukum kufur atau syirik kepada Allah. Persoalan yang kedua yang penting bagi seseorang muslim selepas kesucian aqidah adalah ketepatan amalan dengan kehendak dan hukum Allah.  Dimana persoalan halal dan haram sesuatu amalan menjadi kayu pengukur kepada keredhaan Allah didunia dan ketentuan kedudukan mereka diakhirat. Berdasarkan  asas tersebut, seseorang muslim mesti meneliti dan menentukan setiap amalan  mereka, sama ada halal atau haram disisi agama.
Para fuqaha sepanjang zaman telah berusaha besungguh-sungguh dengan melakukan ijtihad menentu hukum bagi setiap amalan dan muamalat. Usaha ini juga telah berjaya melahirkan beberapa kaedah-kaedah penting yang memudahkan pelaksanaan ijtihad dikalangan fuqaha semasa. Antara kaedah terpenting yang diguna pakai bagi menyelesaikan persoalan halal dan haram sesuatu amalan atau muamalat adalah :
الأصل في الأشياء الإباحة Kaedah 
(Asal sesuatu perkara adalah harus)
               
Kaedah ini dibina berasaskan firman Allah Taala :
الذي هو خلق لكم ما في الأرض جميعا
Ertinya :” Dialah yang menjadikan bagi kamu semua apa yang terdapat di bumi”. (surah Baqarah, ayat 29).
وسخر لكم ما في السماوات وما الأرض جميعا منه
Ertinya :” Telah dijadikan semua yang terdapat dilangit dan di bumi untuk kamu”.  (surah al-Jasiyah,  ayat  13).

Konsep asas daripada kaedah الأصل في الأشياء الإباحة   adalah, sesuatu yang tidak dinyatakan oleh syarak kedudukan hukumnya, sama ada hukumnya haram atau  halal.  Maka hukumnya kembali kepada asal, itu harus dan dibenarkan oleh syarak.
Sementara  sesuatu yang telah diharuskan oleh syarak akan kekal dalam keadaan harus selagi  tiada hujah lain yang sahih dan jelas membatalkan keharusannya.  Ini bermakna sesesuatu yang asalnya diharuskan hanya boleh diharamkan dengan dalil sahih dan jelas.  Perbuatan mengharamkan sesuatu yang telah diharuskan syarak tanpa mempunyai nas atau hujah yang jelas dan sahih, merupakan suatu penyelewengan dan amalan ini yang tidak dibenarkan oleh syarak.  Dimana perbuatan mengharamkan sesuatu yang diharuskan sama seperti perbuatan boleh menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh syarak.
Sesuatu yang mesti diberikan perhatian oleh fuqaha semasa adalah, sesuatu amalan atau muamalat yang diharuskan oleh syarak lebih luas dan besar bilangannya, berbanding dengan sesuatu  yang telah diharamkan olehsyarak.   Sebaliknya amalan dan muamalat yang diharamkan oleh syarak lebih terhad dan bilangannya terlalu sedikit. Misalnya, pengharaman daging babi hanya terlalu kecil berbanding dengan pelbagai jenis daging yang diharuskan. Begitu juga minuman yang diharuskan terlalu banyak berbanding dengan yang diharamkan, iaitu minuman yang memabukkan.

27 Januari 2012

Kaedah memahami nas syarak

Kaedah memahami nas syarak.
Nas syarak merupakan sumber asas  kepada pembinaan hukum dalam perundangan Islam. Para mujtahidin akan mengunakan kemampuan dan ilmu yang mereka milki untuk memahami kehendak sebenar yang dikehendaki oleh nas-nas syarak. Berdasarkan kefahaman mereka ke atas nas-nas syarak, para mujtahidin akan mengistinbat atau menentukan sesuatu hukum syarak.
Secara umum terdapat dua kaedah asas yang diguna pakai oleh para mujtahidin untuk memahami atau mentafsir sesuatu nas syarak.

1- Kaedah az-Zahiri.
Aliran yang meletakan zahir nas atau apa yang tercatat kepada lafaz nas sebagai asas pembinaan sesuatu hukum.  Dimana mereka tidak mengunakan al-Maqasid  sebagai rujukan untuk memahami sesuatu nas syarak, bahkan untuk mengistinbat dan membina sesuatu hukum mereka hanya menjadikan lafaz nas sebagai hujah. Ini bermakna mereka hanya mengunakan apa yang zahir pada lafaz nas sebagai sumber asas pembinaan hukum syarak.
Kaedah memahami nas syarak dalam bentuk ini telah diperkenalkan oleh para fuqaha dari mazhab az-Zahiri. Namun terdapat juga fuqaha dari pelbagai mazhab yang mengunakan kaedah ini sebagai asas dan kaedah untuk memahami sesuatu nas syarak.

2- Kaedah al-Maqasidi.
            Aliran ini berpendapat bahawa kaedah yang digunakan untuk memahami sesuatu nas bukan hanya terhad kepada apa yang tercatat pada lafaz nas,  bahkan mestilah meliputi kajian terhadap al-Maqasid  yang terdapat pada sesuatu nas. Dimana kaedah ini akan menjadikan hikmat-hikmat dan falasafah yang terkandung dalam sesuatu nas sebagai rujukan disamping lafaz nas. Ini bermakna bahawa al-Maqasid  atau falasafah yang terkandung pada sesuatu nas, bukanlah merupakan asas untuk memahami sesuatu nas. Bahkan ilmu al-Maqasid akan bertindak sebagai suatu rujukan bagi membantu seseorang fuqaha untuk memahami kehendak sebenar sesuatu nas syarak.
            Para pengkaji ilmu fiqh berpendapat bahawa ilmu al-Maqasid  merupakan salah satu ilmu yang paling penting untuk memahami sesuatu  nas syarak . Bahkan mereka berpendapat bahawa hubungan diantara ilmu al-Maqasid  dengan nas syarak tidak boleh dipisahkan, bagaikan hubungan diantara roh dengan jasad. Dimana tanpa ilmu al-Maqasid,  sesuatu nas atau hukum syarak akan kehilangan roh. Nas yang kehilangan roh akan menjadi nas yang jumud dan dan  tidak bermaya.
Menjadi tanggungjawab para fuqaha semasa untuk menyelidik dan mengkaji al-Maqasid  yang terdapat pada setiap nas syarak secara bersunguh-sungguh. Kajian terhadap al-Maqasid sesuatu nas amat penting bagi memastikan setiap hukum syarak yang dibina oleh fuqaha semasa benar-benar menepati kehendak syarak.