31 Oktober 2009

Perbuatan Rasulullah S.A.W.

Kedudukan Perbuatan Rasulullah S.A.W. dalam perundangan Islam.

Pada asasnya, setiap perbuatan atau amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. merupakan sebahagian daripada as-Sunnah yang wajib dipatuhi dan diamalkan. Namun tidak semua amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. disyariatkan ke atas umat Islam.

Para ulamak membahagikan perbuatan Rasulullah S.A.W. kepada tiga bahagian :

1- Perbuatan Rasulullah S.A.W. sebagai manusia (الجبلية).
Perbuatan al-Jibiliyah (الجبلية) merupakan perbuatan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai seorang manusia biasa sepertimana manusia lain. Perbuatan ini meliputi setiap tingkah laku atau amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W., dimana amalan ini juga diamalkan oleh setiap individu. Misalnya, cara Rasulullah S.A.W.. berdiri, duduk, bangun, berjalan, tidur, makan, minum, berniaga dan bercucuk tanam.
Perbuatan al-Jibiliyah juga meliputi ijtihad dan tindakan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W. sebagai seorang pengurus atau pentadbir dalam sesuatu urusan yang tiada kaitan dengan syariat. Misalnya, cara Rasulullah S.A.W. menguruskan negara, memimpin peperangan dan menjalankan sesuatu perniagaan.

Antara contoh perbuatan al-Jibiliyah yang berasaskan kepada ijtihad peribadi Rasulullah S.A.W., adalah :
Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah mengarahkan penduduk Madinah supaya tidak melakukan proses pendebungaan ke atas pokok tamar. Arahan Rasulullah S.A.W. tersebut telah diikuti dan dipatuhi oleh penduduk Madinah. Namun pada tahun berikutnya, didapati hasil buah tamar berkurangan berbanding dengan tahun sebelumnya.

Apabila Rasulullah S.A.W. mengetahui keadaan tersebut, maka beliau bersabda :
أنتم أعلم بأمور دنياكم
ertinya :” Sesungguhnya kamu lebih mengetahui mengenai urusan mengenai dunia kamu”.

Begitu juga, dalam peperangan Badar Rasulullah S.A.W. telah mengarah tentera Islam supaya mengambil kedudukan di tempat tertentu yang beliau tetapkan.

Namun terdapat diantara para sahabat R.A. yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. :
أ هذا منزل أنزلك الله فيه , أم هو الرأي والحرب والمكيدة ؟. فقال الرسول الله (ص) : بل هو الرأي والحرب والمكيدة. فقال الصحابي : ليس هذا بمنزل ,
ertinya :” Adakah ini kedudukkan yang telah diturunkan (ditetapkan) Allah Taala, atau kedudukkan tersebut berdasarkan kepada pendapat peribadi, (taktik) peperangan, dan tipudaya (dalam peperangan)?. Rasulullah S.A.W. bersabda :” Sebenarnya (kedudukkan tersebut) berdasarkan pendapat peribadi, (taktik) peperangan dan tipudaya (peperangan)”. Sahabat tersebut berkata :” Sebenarnya bukan disini kedudukkannya “.

Kemudian sahabat R.A. tersebut telah menunjukkan kepada Rasulullah S.A.W. suatu tempat yang lain dari tempat yang dipilih Rasulullah S.A.W.. Sedangkan tempat tersebut dipilih sendiri oleh sahabat R.A. dengan alasan tersendiri. Kemudian pendapat tersebut dikemukakan kepada Rasulullah S.A.W., dan beliau telah menerimanya.

Hukum mengamalkan perbuatan al-Jibiliyah.
Jumhur ulamak berpendapat bahawa perbuatan al-Jibiliyah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. tidak dikategorikan sebagai suatu syariat yang mesti dikuti dan diamalkan oleh setiap mukalaf. Ini kerana perbuatan al-Jibiliyah yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. atas sifatnya sebagai seorang manusia yang tiada kaitan dengan syariat. Bahkan Rasulullah S.A.W. sendiri tidak mewajibkan umat Islam mengamalkan amalan-amalan tersebut dalam kehidupan mereka.

Namun jumhur ulamak berpendapat bahawa umat Islam diharuskan mengikuti dan mengamalkan setiap yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.. Bahkan mereka digalakan berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan setiap amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. atas dasar kasih sayang kepadanya.

2- Amalan disyariat khusus kepada Rasulullah S.A.W..
Perbuatan yang disyariatkan khusus kepada Rasulullah S.A.W. tanpa melibatkan seluruh umat Islam. Amalan khusus ini dapat dikesan melalui dalil syarak yang mensabitkan bahawa sesuatu perbuatan tersebut disyariatkan khusus kepada Rasulullah S.A.W.. Ini bermakna amalan ini tidak disyariatkan kepada umat Islam seluruhnya.

Misalnya, diharuskan kepada Rasulullah S.A.W. untuk berkahwin melebihi daripada empat orang isteri. Begitu juga diwajibkan ke atas Rasulullah S.A.W. menunaikan solat Dhuha dan solat tahajjud.

Hukum perbuatan yang disyariat khusus kepada Rasulullah S.A.W..
Perbuatan yang disyariatkan khusus kepada Rasulullah S.A.W. terbahagi kepada tiga jenis :

i- Perbuatan yang diharuskan kepada Rasulullah S.A.W..
Perbuatan yang diharuskan khusus kepada Rasulullah S.A.W. sahaja. Misalnya, Rasulullah S.A.W. diharuskan untuk mengahwini lebih daripada empat orang isteri. Umat Islam diharamkan mengikuti dan mengamalkan perbuatan yang diharuskan khusus kepada Rasulullah S.A.W..

ii- Perbuatan yang diwajibkan ke atas Rasulullah S.A.W..
Perbuatan yang diwajibkan khusus ke atas Rasulullah S.A.W. sahaja. Misalnya, Rasulullah S.A.W. diwajib menunaikan solat dhuha, solat witir dan solat tahajjud.
Umat Islam disunatkan mengikuti dan mengamalkan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini disebabkan umat Islam disunat mengikuti dan mengamalkan amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.. Sementara hukum wajib mengamalkan amalan ini hanya khusus kepada Rasulullah S.A.W..

iii- Perbuatan yang diharamkan ke atas Rasulullah S.A.W..
Perbuatan yang diharamkan khusus ke atas Rasulullah S.A.W. sahaja. Misalnya, Rasulullah S.A.W. diharamkan menerima zakat dan memakan makanan yang berbau busuk.
Umat Islam disunat meninggalkan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini disebabkan umat Islam disunat mengikuti dan mengamalkan amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.. Sementara hukum haram mengamalkannya hanya dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. sahaja.

3- Amalan yang disyariatkan.
Umat Islam diwajibkan mematuhi dan mengamalkan setiap perbuatan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai suatu syariat dalam perundangan Islam. Perbuatan yang disyariatkan kepada seluruh umat Islam ini terbahagi kepada dua jenis. :

1- Amalan Rasulullah S.A.W. sebagai penjelasan kepada al-Qur’an..
Perbuatan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk memberi penjelasan atau huraian kepada apa yang dikehendaki oleh al-Qur’an dan perundangan Islam. Amalan Rasulullah S.A.W. ini bertindak sebagai suatu huraian kepada ayat-ayat al-Qur’an yang memerlukan penjelasan. Begitu juga amalan ini bertindak sebagai pentaqyid kepada ayat-ayat al-Qur’an yang bersifat al-Mutlaq, atau bertindak sebagai mentakhsis kepada ayat-ayat al-Qur’an yang bersifat umum.

Hukum mematuhi dan mengamalkan amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. ini bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh syarak. Jika amalan tersebut diwajibkan oleh syarak, maka umat Islam wajib mematuhi dan mengamalkannya. Begitu juga jika amalan tersebut disunatkan oleh syarak, maka umat Islam disunatkan mengamalkannya.

Perbuatan Rasulullah S.A.W. yang dilakukan untuk memberi penjelasan atau huraian kepada apa yang dikehendaki al-Qur’an dan syarak dapat dikesan melalui dua kaedah ;

i- Terdapat dalil yang jelas daripada Rasulullah S.A.W. bahawa amalan tersebut diamalkan sebagai suatu penjelasan atau huraian kepada apa yang dikehendaki oleh al-Qur’an dan syarak.
Misalnya, Rasulullah S.A.W. mengerjakan solat dan haji. Kedua-dua ibadat ini dikerjakan untuk memberi penjelasan kepada umat Islam cara dan kaedah yang mesti mereka lakukan untuk menunaikan kedua-dua ibadat tersebut. Dimana perintah menunaikan solat dan haji diterangkan didalam al-Qur’an, namun tidak dijelaskan cara dan kaedah menunaikannya secara terperinci.

Sabda Rasulullah S.A.W. :
صلوا كما رأينموني أصلي
ertinya :” Hendaklah kamu menunaikan solat sebagaimana kamu melihat aku menunaikannya“.
Sabda Rasulullah S.A.W. :
خذوا عني مناسككم
ertinya :” Ambillah daripada aku ibadat (haji) kamu “.

ii- Terdapat kaitan bahawa amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. merupakan penjelasan atau huraian kepada apa yang dikehendaki oleh al-Qur’an dan syarak.
Misalnya, Rasulullah S.A.W. menjalankan hukuman ke atas pencuri dengan mengerat pegelangan tangan mereka. Hukuman tersebut dilaksanakan untuk menghuraikan apa yang dikehendaki al-Qur’an mengenai hukuman ke atas pencuri. Dimana al-Qur’an tidak menjelaskan secara terperinci kaedah untuk mensabitkan jenayah curi dan cara melaksanakan hukuman tersebut.

Firman allah Taala :
السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما
ertinya :” Pencuri lelaki dan perempuan, hendaklah kamu kerat tangan kedua-duanya (sebagai hukuman) “.

2- Amalan Rasulullah S.A.W. bukan sebagai penjelasan kepada al-Qur’an.
Perbuatan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. bukan merupakan suatu penjelasan atau huraian kepada kehendak al-Qur’an dan syarak. Bahkan amalan tersebut diamalkan dengan kehendak dan pilihan Rasulullah S.A.W. sendiri.

Amalan bentuk ini terbahagi kepada dua jenis :

i- Amalan yang diketahui kedudukan hukumnya.
Amalan yang diketahui kedudukan hukumnya dari segi syarak, sama ada hukumnya adalah wajib, atau sunat, atau harus mengamalkannya. Umat Islam dituntut mengamalkannya berdasarkan kepada kedudukan hukum yang ditetapkan oleh syarak. Tuntutan supaya mengamalkan amalan dalam bentuk ini berdasarkan beberapa dalil dan hujah. Antaranya adalah:

i- Firman Allah Taala :
وَمَا آتَاكُمْ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا
ertinya :” Apa yang disampaikan oleh Rasul kepada kamu, maka hendaklah kamu ambilnya (amalkannya). Dan apa yang ditegah oleh Rasul ke atas kamu, maka hendaklah kamu tinggalkan “. (Surah al-Hasyr, ayat 7)

ii- Firman Allah Taala :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
ertinya :” Sesungguhnya pada Rasulullah terdapat contoh tauladan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat “. (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Diriwayatkan bahawa Umar al-Khatab R.A. mencium al-Hajar al-Aswad ketika beliau melakukan tawaf dan berkata :
إنى أعلم أنك حجر لا تضر ولا تنفع , ولو لا أنى رأيت رسول الله ما قبلتك
ertinya :” Sesungguhnya aku mengetahui bahawa engkau merupakan batu yang tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan tidak boleh memberi manfaat. Kalaulah aku tidak melihat Rasulullah S.A.W. mencium engkau, nescaya aku tidak akan mencium engkau “.

Riwayat ini menjelaskan bahawa Umar al-Khatab R.A. akan mematuhi dan mengamalkan amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W., walaupun beliau sendiri tidak mengetahui hikmat disebalik amalan tersebut.

ii- Amalan yang tidak diiketahui kedudukan hukumnya.
Sesuatu amalan yang tidak diketahui kedudukan hukumnya dari segi syarak, namun diketahui bahawa amalan tersebut diamalkan oleh Rasulullah S.A.W untuk merapatkan dirinya kepada Allah Taala. Misalnya, Rasulullah S.A.W. menunaikan solat-solat sunat, mengamalkan zikir-zikir tertentu dan berdoa kepada Allah.
Umat Islam disunatkan mengamalkan amalan seperti ini. kerana setiap amalan yang boleh merapatkan diri manusia kepada Allah merupakan suatu amalan yang dituntut dalam Islam.

Sementara amalan yang tidak diketahui sama ada amalan tersebut diamalkan Rasulullah S.A.W. untuk merapatkan diri kepada Allah Taala atau sebaliknya. Misalnya, Rasulullah S.A.W. menjalankan peniagaan dan bercucuk tanam. Para ulamak berpendapat bahawa diharuskan ke atas umat Islam mengikuti dan mengamalkan amalan seperti ini. Ini disebabkan setiap amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. harus diikuti dan diamalkan oleh umatnya.

21 Oktober 2009

Kaedah merujuk kitab Fiqah karangan ulamak terdahulu.

Khazanah kitab-kitab al-Fiqh yang diwarisi oleh umat Islam daripada ulamak terdahulu merupakan sesuatu yang amat berharga dan anugerah tidak ternilai. Tidak terdapat mana-mana tamadun dunia yang mempunyai ketinggian dan kehebatan ilmu seperti mana yang dimiliki oleh umat Islam. Dimana, ilmu dan kajian ini telah ditulis dan dibukukan untuk menjadi rujukan kepada jenerasi kemudian.

Hukum-hukum yang terkandung dalam kitab-kitab fiqh ini telah dijadikan rujukan dan kajian kepada fuqaha semasa. Mereka juga telah menjadikan hujah-hujah yang dikemukakan sebagai panduan dan sandaran untuk membina hukum baru yang tidak terdapat pada zaman sebelumnya. Selain daripada itu, kitab-kitab ini juga telah dijadikan sebagai asas untuk menyelesaikan perbezaan hukum dalam masalah tertentu di kalangan para fuqaha.

Namun hukum-hukum yang terkandung dalam kitab-kitab ini mesti dikaji dan diteliti dahulu sebelum diterima dan diamalkan dalam dunia semasa. Antara kepentingan dibuat kajian atau penelitian terhadap hukum yang terkadung dalam kitabpkitab fiqh adalah :

1- Kajian dan penelitian dapat amat penting bagi mengelakkan ahli fiqh semasa menerima apa sahaja hukum yang telah diijtihadkan oleh ulamak terdahulu. Penerimaan semua fatwa yan dikeluarkan tanpa meneliti dalil dan hujah merupakan suatu bentuk taqlid secara yang tidak benar syarak. Bahkan para ulamak terdahulu juga menegah perbuatan tersebut. Ini disebabkan para ulamak terdahulu merupakan manusia biasa yang tidak terpelihara daripada kelemahan dan melakukan kesilapan.

2- Ahli fiqh semasa mesti membuat kajian ke atas hukum yang telah dikeluarkan ulamak terdahulu bagi memastikan hukum tersebut tidak dimanupulasi oleh pihak tertentu dan mereka yang mempunyai kepentingan. Dimana terdapat pihak tertentu cenderong untuk memilih hukum yang lebih ringan dengan alasan hukum tersebut telah difatwakan oleh ulamak terdahulu. Sedangkan hukum yang telah dikeluarkan tersebut berkemungkinan bersandarkan hujah yang lemah atau berdasarkan kesesuaian masa dan tempat. Jika keadaan tidak dihalang dan dihentikan, maka perundangan Islam akan dimanupulasi oleh mereka yang berkepentingan.

3- Ahli fiqh semasa juga mesti membuat kajian dan pentarjihan bagi memastikan setiap hukum yang dikeluarkan sesuai dengan kepentingan semasa dan suasana setempat. Dimana hukum yang dikeluarkan pada satu-satu zaman, tidak semestinya sesuai untuk diamalkan pada zaman lain. Ini disebabkan perkembangan dalam kehidupan manusia berbeza di antara suatu masa dengan masa yang lain, atau satu tempat dengan tempat yang lain. Bahkan sesuatu fatwa akan berubah seiring dengan perubahan masa, tempat, adat dan maslahah.

4- Terdapat hukum yang dibina oleh ulamak terdahulu bersandarkan nas yang lemah dan tidak sahih. Begitu juga, terdapat kesilapan dalam menentukan kehendak sebenar atau dilalah sesuatu nas. Sementara sesetengah ulamak menyandarkan ijtihad mereka kepada pengetahuan sendiri, atau pendapat orang lain. Namun pengetahuan dan pendapat tersebut tidak berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran yang disahkan.

Kesemua faktor-faktor ini merupakan alasan utama yang mesti diberi perhatian oleh para fuqaha semasa. Mereka mesti mengambil satu pendekatan yang proaktif dengan membuat kajian dan pentarjihan ke atas setiap hukum yang telah dibina. Pentarjihan ini amat penting bagi memastikan setiap hukum yang dibina oleh ulamak terdahulu benar-benar berdasarkan kepada dalil yang sahih dan hujah yang sesuai dengan al-Maqasid as-Syari’eyah.

14 Oktober 2009

Syariah dan Maslahah

Hubungan Syariah dengan maslahah.

Rangkaian peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala ke atas manusia bermatlamat untuk memastikan manusia mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Syariat yang ditetapkan ini meliputi pelbagai cabang kehidupan manusia, sama ada dalam persoalan aqidah, ibadat, akhlak dan muamalat. Melalui syariat ini, kesempurnaan dan kepentingan (maslahah) hidup manusia akan terpelihara. Syariat ini juga bertindak memelihara manusia daripada ditimpa kecelakaan dan kerosakan.


Bagi memastikan matlamat ini tercapai, syariat telah meletakkan kepentingan agama sebagai asas yang paling utama untuk dipelihara. Kemudian diikuti dengan kepentingan nyawa, kepentingan keturunan dan maruah, kepentingan akal dan kepentingan harta. Jika diperhatikan, syariat Islam bukan hanya menjaga kepentingan nyawa dan kebendaan sahaja, bahkam meliputi kepengan agama dan akal.


Berasas kepada inilah para ulamak telah membahagikan kepentingan atau maslahah kepada beberapa bahagian :


1-Masalih ad-Dharuriyah atau sesuatu yang menjadi kepentingan dan keperluan asas kepada kehidupan manusia. Ini bermakna, kegagalan manusia memelihara kepentingan dan keperluan ini akan menyebabkan kehidupan manusia tidak sempurna dan menghadapi kecelakaan. Misalnya, kepentingan agama, keamanan dan makanan.


2- Masalih al-Hajaiyah atau sesuatu yang menjadi keperluan kepada manusia. Dimana kegagalan untuk memenuhi keperluan ini akan menyebabkan manusia menghadapi kepayahan dan kesusahan. Namun kepayahan dan kesusahan yang dihadapi tidak membawa kepada kecelakaan.


3- Masalih at-Tahsiniyah atau sesuatukeperluan yang dapat mengelokkan atau menyempurnakan kehidupan manusia. Misalnya, kepentingan memelihara adat dan budi pekerti yang terpuji.


4- Masalih al-Mursalah atau sesuatu kepentingan atau keperluan yang tidak ditentukan kedudukan hukumnya oleh syarak. Namun jika dilaksanakan masalih ini dilihat boleh mendatangkan faedah dan manfaat kepada kehidupan manusia. Misalnya, mendaftar perkahwinan di Majlis agama atau menggunakan khidmat peguam dalam urusan tertentu.


Perkembangan dalam kehidupan manusia telah menjadikan Masalih al-Mursalah sebagai salah satu kaedah terpenting dalam perundangan Islam. Para fuqaha telah menjadikan kaedah ini sebagai asas utama dalam usaha mereka melaksanakan ijtihad semasa.

12 Oktober 2009

SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI

Allahamdulillah, kami memuji dan bersyukur kepada Allah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan al-Qur'an sebagai panduan dan pendoman kepada manusia. Usaha untuk mendaulatkan ajaran Allah merupakan tanggungjawab setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah dan hari Akhirat.
Setiap peluang dan ruang yang dimiliki mestilah diarahkan kepada usaha yang diberkati ini. Melalui pengorbanan tenaga, masa dan harta benda yang dicurahkan, kami mengharapkan usaha terpuji tersebut akan meninggalkan kesan kepada agama Islam dan umat Islam.
Terbentuknya blog FUQAHA SERAMBI MAKKAH "MEDAN FAQIH SEMASA BERFIKIR DAN BERSUARA" merupakan suatu ruang terbuka untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan perintah syarak berdasarkan ilmu dan hujah.
Pihak kami akan berusaha memastikan setiap ruang dalam blog ini akan meninggalkan kekuatan kepada daya fikir para pembaca. Pihak kami juga akan memberi ruang terbaik kepada para pembaca untuk menyampaikan pendapat dan suara keilmuan mereka.

Dengan ini, kami mengharapkan akan lahir kelompok umat Islam yang mempunyai kefahaman tinggi mengenai ajaran dan perundangan Islam. Semoga usaha kami diterima Allah sebagai suatu amalan soleh, amin.